Dalang boleh dipenjara 6 bulan
Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang mendedahkan terdapat peruntukan dalam undang-undang syariah bahawa dalang yang menyebabkan perceraian boleh disabit kesalahan di Mahkamah Syariah.
“Enakmen jenayah ini termaktub di setiap negeri. Malah keluarga sendiri mahupun mertua juga boleh didakwa kalau ada cukup bukti.
“Jika disabitkan kesalahan individu berkenaan boleh didenda RM1,000 atau penjara selama enam bulan ataupun kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Bagaimanapun, Musa memberitahu, enakmen jenayah itu hanya boleh diguna pakai selepas berlaku perceraian.
“Mungkin sebab itulah ramai yang tidak ambil kisah kerana perceraian telah pun berlaku. Jadi apa lagi nak dikecohkan.
“Bahkan saya yakin sepanjang enakmen ini dikuatkuasakan, belum ada kes seperti itu dibicarakan,” katanya yang mendedahkan 60 peratus kes perceraian dan permohonan cerai yang diterima beliau disebabkan penglibatan pihak ketiga.
“Namun harus diingat pihak ketiga ini bukan sahaja individu lain seperti kekasih suami mahupun isteri tetapi juga keluarga mertua sendiri.
“Ini berdasarkan pengalaman saya mengendalikan kes-kes melibatkan permohonan cerai dan perceraian pasangan beragama Islam,” katanya yang berpengalaman selama lebih 10 mengendalikan kes-kes Mahkamah Syariah. – MEGAT LUTFI MEGAT RAMLI
New Life
10 years ago











